RSS

Obses kulit cerah

Kuala Lumpur: Obsesi untuk berkulit cerah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan banyak manusia mengalami kekurangan Vitamin D, termasuk dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, kata seorang pakar.
Ketua Program Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Poh Bee Koon berkata, selain lebih gemar berada di dalam bangunan, rakyat Malaysia terikat dengan pemikiran bahawa kulit yang cerah adalah antara kriteria untuk kelihatan cantik.
"Mereka tidak mahu mendedahkan diri kepada sinar matahari. Kalaupun mereka keluar, mereka akan memakai sesuatu yang boleh melindung cahaya matahari seperti skrin pelindung matahari kerana percaya kulit yang cerah itu adalah kecantikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Persidangan Saintifik ke-29 Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) di sini, hari ini.

Dr Poh, yang juga ketua penyelidik South-East Asia Nutrition Survey (SEANUTS) di Malaysia, mendapati hampir separuh daripada jumlah kanak-kanak di negara ini kurang Vitamin D berdasarkan data yang dikumpul pada 2010 dan 2011.

Katanya, paras Vitamin D dalam kalangan mereka yang berusia bawah 12 tahun di negara ini, hampir sama dengan paras mereka yang tinggal di negara beriklim sejuk.

"Masalah hendak sangat berkulit cerah ini bukan sahaja ada di Malaysia, tetapi juga di Thailand, Indonesia dan Vietnam, sesuatu yang menyedihkan sedangkan kita mempunyai banyak cahaya matahari sebagai sumber asli Vitamin D," katanya.

Dr Poh berkata, hanya sedikit makanan mengandungi Vitamin D semula jadi, antaranya kuning telur dan minyak ikan kod.

Sementara itu, setiausaha NSM Prof Dr Norimah A. Karim berkata, ibu bapa kadangkala tersalah faham bahawa mendedahkan diri kepada matahari tidak baik untuk mereka serta anak-anak dan oleh itu lebih suka tinggal di dalam rumah.


"Mendedahkan diri kepada matahari tidak mendatangkan masalah, terutama sekitar pukul 10 pagi, sebelum tengah hari. Keluarlah dan habiskan masa anda di luar rumah kerana ia sesuatu yang menyihatkan, semula jadi dan boleh mendapat Vitamin D secara percuma untuk anda dan anak-anak anda," katanya.

Kekurangan Vitamin D didapati boleh menyebabkan penyakit riket (keadaan yang menyebabkan tulang menjadi lembut dan lemah serta boleh membawa kepada kecacatan tulang), osteoporosis dan penyakit autoimun. - Bernama
sumber
myMetro

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...