RSS

Trauma ibu bayi di serang biawak tak habis

Johor Bahru: Ibu bapa bayi yang menjadi mangsa serangan biawak, Nur Hidayah Abdul Rahman berusia lapan bulan akan diberikan kaunseling oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang trauma dengan insiden itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Asiah Md Ariff berkata, langkah itu diambil selepas melihat keadaan ibu mangsa Nur Raudhah Maisarah Abdullah, 38, yang masih tidak dapat melupakan insiden menimpa anak tunggalnya itu.

Katanya, keadaan Nur Hidayah semakin beransur pulih dan ceria, tetapi ibunya Nur Raudhah masih trauma dengan kejadian itu.

“Kita faham perasaannya kerana dia sendiri yang menyaksikan kejadian itu dan bergelut dengan haiwan berkenaan bagi menyelamatkan anaknya.

“Justeru, dalam musibah atau keadaan apa sekalipun, kita cuba membantu dengan menugaskan pegawai JKM memberi kaunseling kepada ibu bapa mangsa sehingga keadaan pulih dan ia mungkin mengambil masa kerana bukan mudah menghilangkan trauma,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Wad Kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi meninjau keadaan Nur Hidayah semalam turut disertai Ketua Penolong Pengarah JKM negeri Hashim Kidam dan Pegawai JKM Daerah Johor Bahru Manayi Ibrahim.

Sempena lawatan berkenaan, Asiah menyampaikan sumbangan kepada Nur Raudhah Maisarah.Menurut Asiah, ibu bapa mangsa bagaimanapun tidak dikenakan tindakan atau didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mereka tidak didakwa kerana ia bukan berpunca daripada kecuaian dan kejadian itu berlaku di luar jangkaan. Tambahan, kawasan pulau itu sememangnya menjadi habitat bagi haiwan berkenaan,” katanya.


ASIAH mendokong Nur Hidayah yang semakin pulih daripada kecederaan akibat diserang biawak.


Sementara itu, Pegawai Perubatan Bahagian Pembedahan Plastik HSA Dr Low Tzuemn Ling berkata, keadaan Nur Hidayah bertambah stabil dan kini dalam pemantauan hospital.

Low berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang jangkitan pada Nur Hidayah dan memantau keadaannya sehingga pulih.

“Sebenarnya, kita turut terkejut dengan apa yang berlaku dan berusaha memberi rawatan sebaik mungkin kepadanya.

“Akibat serangan reptilia itu, Nur Hidayah menerima lebih 150 jahitan di dalam dan luar kawasan cedera iaitu pipi, dahi dan kepala.


“Bagaimanapun, Nur Hidayah bernasib baik kerana tidak menerima jangkitan setakat ini dan mungkin berada di wad untuk tempoh seminggu lagi bagi menerima rawatan susulan,” katanya.

sumber dari
myMetro

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

drshikinzainal @ ekin berkata...

Alhamdulillah.
Lega dengar keadaan baby Hidayah tu selamat tanpa sebarang komplikasi, especially infection.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...