RSS

BN rampas Parlimen Teluk Intan

TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan selepas calonnya, Datuk Mah Siew Keong menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dengan majoriti 238 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahim Ahmad di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Teluk Intan di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini, sebentar tadi.      

Mah yang juga bekas Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) dan PRU-11 memperoleh 20,157 undi berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.


Terdapat 543 undi rosak.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China mengumumkan Presiden GERAKAN itu, akan dilantik sebagai Menteri Kabinet jika beliau memenangi PRK Parlimen Teluk Intan.

Peratusan keluar mengundi kali ini juga merosot kepada 66.67 peratus berbanding 80.7 peratus yang dicatatkan pada PRU-13 tahun lalu.

Kerusi Teluk Intan kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.
Pada PRU-13 lalu, Seah menang dengan majoriti 7,313 undi apabila meraih 27,399 undi berbanding calon BN, Mah yang memperoleh 20,086 undi dan calon Bebas, Moralingam Kannan dengan 279 undi.

Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.

Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.

Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.

Pada 26 Oktober 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.
 
 
 
 
sumber
 
Berita Harian
 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...