Profil Sultan Baru
Labels:
Berita
Mewarisi keperibadian unggul ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, meneruskan legasi kesultanan Perak dengan kewibawaannya sebagai pemerintah berjiwa rakyat.
Sebelum ditabal sebagai Sultan Perak ke 35, semalam baginda bukan saja dikenali rakyat sebagai Putera Raja yang mesra rakyat, malah pembabitannya dalam program amal dan kemasyarakatan sememangnya tidak asing bagi rakyat negeri itu.
Kemurahan hati baginda terserlah apabila tidak kekok untuk mendekati rakyat khususnya golongan kurang bernasib baik dan tidak putus menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban mereka.
Seiring tahap intelektual yang tinggi, baginda bijak melontarkan pandangan dan buah fikiran dalam pelbagai isu merangkumi politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan, agama serta isu semasa. Baginda dilahirkan pada 27 November 1956 hasil perkongsian hidup Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tuanku Siti Bainun Mohd Ali.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkahwin dengan Tuanku Zara Salim Davidson dan dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.
Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, baginda seterusnya mengikuti pengajian menengah di St John Institution sebelum melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi di Universiti Oxford, England pada 1979.
Baginda berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat selain ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari universiti sama.
Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.
Mengikut susur galur sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.
Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.
Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
Ketika ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.
Sultan Nazrin Shah yang juga ProCanselor Universiti Malaya adalah Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.
Tahun lalu, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti itu.
Selain itu, Sultan Nazrin Shah adalah Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang selain Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).
Mengikuti jejak ayahandanya, baginda pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.
Kepimpinan baginda terbukti apabila pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.
Baginda amat disenangi pelbagai lapisan masyarakat dan dibuktikan apabila berita perkahwinannya dengan Tuanku Zara pada 2007 disambut dengan penuh kesyukuran dan diraikan seluruh rakyat Perak.
Sumber dari
Mymetro
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan